Monday, April 2, 2012

SIAPA MAHRAM DAN BUKAN MAHRAM BAGI KITA?

Bersalaman atau berjabat tangan antara lelaki dengan perempuan seperti perkara biasa sahaja, lebih-lebih lagi di kalangan keluarga, tidak kira dekat ataupun jauh. Sebenarnya tidaklah begitu. Agama telah mengaturkan bukan semua keluarga dibolehkan dijabati tangan, ada yang boleh, ada pula yang tidak boleh. Perkara inilah yang hendak dihuraikan dalam ruangan ini. Dalam ahli keluarga itu, ada yang dikategorikan sebagai mahram dan ada juga yang dikategorikan sebagai bukan mahram. 

Namun untuk memudah cara mengetahui siapa yang bukan mahram, memadai dengan mengetahui siapa yang dikatakan perempuan mahram itu. Perempuan mahram itu ialah perempuan yang haram dinikahi atau dijadikan isteri. Hakikat mahram yang sebenarnya ialah perempuan yang dihalalkan untuk dilihat, diajak berdua-duaan atau berpergian dengannya. 

Perempuan mahram terbahagi kepada tiga bahagian dengan sebabsebab yang tertentu: 
Pertama: Mahram kerana keturunan. 
Kedua: Mahram kerana saudara sesusuan.
Ketiga: Mahram kerana perkahwinan. 

Perempuan mahram kerana keturunan adalah seperti berikut: 
1. Ibu kandung, termasuk nenek dan seterusnya ke atas. 
2. Anak perempuan kandung, termasuk cucu dan seterusnya ke bawah. 
3. Adik beradik perempuan seibu sebapa. 
4. Adik beradik perempuan sebapa. 
5. Adik beradik perempuan seibu. 
6. Emak saudara sebelah bapa (adik‐beradik bapa) dan seterusnya ke atas. 
7. Emak saudara sebelah ibu (adik‐beradik ibu) dan seterusnya ke atas. 
8. Anak perempuan dari adik‐beradik lelaki mahupun dari adik‐beradik perempuan (anak kemanakan). 

Mahram kerana saudara sesusuan sama pembahagiannya dengan mahram kerana keturunan, sebagai mana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha: Maksudnya: 

Dilarang untuk dinikahi saudara (adik-beradik) perempuan sesusuan sebagaimana dilarang untuk dinikahi saudara perempuan kerana keturunan.” (Hadis riwayat Muslim) 

Nash yang menyebutkan tentang kedua-dua bahagian mahram ini pula ada tersebut di dalam Al-Qur’an melalui firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam surah an-Nisa ayat 23. 

Sementara itu perempuan yang termasuk di dalam kategori mahram kerana perkahwinan adalah seperti berikut: 
1. Emak mertua. 
2. Anak menantu. 
3. Emak tiri. 
4. Anak tiri. 

Oleh itu, perempuan-perempuan dari ahli keluarga isteri selain empat orang yang disebutkan di atas kekal sebagai perempuan ajnabiyyah. Perempuan ajnabiyyah itu ialah perempuan yang boleh dinikahi, tidak halal untuk dilihat, haram diajak berdua-duaan dan berpergian dengannya dan ia adalah perkataan lawan bagi perkataan perempuan mahram. 

Contoh Ahli Keluarga Yang Bukan Mahram 
Contoh ahli keluarga yang bukan termasuk dalam kategori mahram kerana perkahwinan dan kekal batasan hukumnya seperti perempuan ajnabiyyah ialah: 
1. Isteri kepada adik‐beradik bapa. (emak saudara sebelah bapa) 
2. Isteri kepada adik‐beradik emak. (emak saudara sebelah emak) 
3. Adik‐beradik bapa mertua perempuan. 
4. Adik‐beradik emak mertua perempuan. 
5. Anak kemanakan isteri perempuan. (anak adik‐beradik isteri) 
6. Kakak ipar. 
7. Adik ipar perempuan. 

Contoh ahli keluarga yang bukan termasuk dalam kategori mahram kerana keturunan dan kekal batasan hukumnya seperti perempuan ajnabiyyah ialah: 
1. Sepupu perempuan. (anak adik beradik bapa atau emak) 
2. Sepupu bapa. 
3. Sepupu emak. 

Oleh kerana mereka ini tidak tersenarai dalam kategori mahram yang disebutkan sebelum ini, maka batasan hukum bersentuhan dengan mereka ini adalah sama dengan perempuan ajnabiyyah. 

Sumber: Fatwa kerajaan Negara Brunei

2 comments:

salam93 said...

adakah saya boleh berkahwin dgn sepupu lelaki(anak pakcik sebelah ayah)? ayah saya kata x boleh sbb pakcik saya bole mewalikan saya. mohon penjelasan.

Mekar Seri Felcra said...

Dengan sepupu tu dibolehkan. Pakcik tu je tak boleh sbb dia boleh mewalikan saudari.