Wednesday, August 15, 2012

PERKARA-PERKARA SUNAT PADA HARI RAYA


Bertakbir
Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
“Hiasilah hari-hari raya kamu dengan bertakbir.” (at-Tabrani)

Umat Islam digalakkan menyambut hari raya sama ada hari raya Aidil Fitri mahupun Aidil Adha dengan bertakbir beramai-ramai dengan dimulakan di rumah bersama ahli keluarga, kemudian di masjid-masjid atau di surau-surau bagi menandakan kesyukuran kepada Allah SWT setelah berjaya berpuasa selama sebulan.

Takbir bermula sejurus sahaja terbenam matahari pada hari terakhir Ramadan, selepas berbuka dan menunaikan solat maghrib maka digalakkan bertakbir dengan takbir raya yang biasa kita ucapkan apabila tiba hari raya.

Mandi, Memakai Wangian, Memakai Pakaian yang Baik
Perkara ini dilakukan adalah untuk menzahirkan nikmat Allah dan bersyukur di atas nikmat tersebut. Ini kerana Rasulullah SAW mandi pada hari raya Fitrah, hari raya Korban, baginda memakai wangian pada hari raya, walau pun dari wangian isterinya. (Riwayat Baihaki dari Ibn Abbas.)

Waktu mandi, pada pandangan Hanafiah dan Hanabilah, ialah selepas subuh sebelum pergi ke masjid. Di antara dalil, sunatnya perkara tersebut ialah:
Maksudnya: Hasan berkata: “Rasulullah SAW menyuruh kami pada dua hari raya, supaya kami memakai sebaik-baik pakaian yang kami ada, kami memakai wangian yang terbaik yang kami ada, dan kami korbankan benda yang paling berharga yang kami ada…” Riwayat al-Bukhari.

Makan Sebelum Keluar Menunaikan solat Pada Hari Raya Fitrah,
Walaubagaimanapun tidak sunat makan sebelum keluar menunaikan solat hari raya pada hari Raya Korban. Pada hari raya korban sunat dilewatkan makan sehingga balik dari menunaikan solat supaya dapat makan masakan dari hasil korbannya, atau hasil korban orang lain, jika ia tidak berkorban. Disunatkan makan dahulu beberapa biji tamar (bilangan ganjil) pada hari raya Fitrah,  Ini berdasarkan hadis Anas: 

Maksudnya: “Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi hari raya Fitrah sehingga baginda makan beberapa tamar”.

Maksudnya: Hadis Buraidah “Bahawa Rasulullah SAW tidak keluar pada hari Raya Fitrah sehingga baginda makan, dan baginda tidak makan pada hari Raya Korban sehingga baginda solat.”

Adab Keluar Rumah Pada Hari Raya
selepas solat subuh, dengan tenang, bersopan dan dalam keadaan berjalan kaki, dengan keinginan untuk menambahkan pahala. Ini berdasarkan kata-kata Ali r.a. :
Maksudnya: “Antara sunnah Rasulullah ialah keluar untuk solat hari raya dalam keadaan berjalan kaki.”

Manakala Imam solat, sunat baginya lewat datang ke masjid sehingga dekat waktu untuk mendirikan solat tersebut. Ini berdasarkan hadis Abi Said al-Khudri r.a.:
Maksudnya: “Nabi SAW keluar pada hari Raya Fitrah dan raya korban ke musalla, maka perkara pertama yang baginda mulakan ialah solat sunat hari raya.”

Walau bagaimanapun tidaklah menjadi suatu larangan untuk menaiki kenderaan ketika berjalan pulang.

Antara sunnah Rasulullah SAW juga ialah pulang dari masjid mengikut jalan yang berbeza supaya langkahnya disaksikan oleh dua batang jalan, ketika pergi dan ketika pulang. Walau pun begitu, tiada halangan untuk pulang mengikut jalan yang sama.

Sunat Ucapkan Tahniah.
Terdapat satu riwayat hadis, maksudnya:
“Para sahabat Rasulullah SAW, apabila mereka berjumpa pada hari raya, mereka ucapkan sesama mereka “Moga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu.”

Berseronok Pada Hari Raya
Berseronok pada perkara yang dibenarkan, seperti dengan nyanyian yang dibolehkan termasuk nasyid, dan qasidah untuk merehatkan jiwa. Ini berdasarkan kata Anas, 
maksudnya:
“Ketika Rasulullah datang ke Madinah, dan bagi penduduk Madinah terdapat dua hari yang mereka berseronok padanya, maka Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kebaikan bagi kamu dengan dua hari tersebut, iaitu hari raya fitrah dan hari raya korban.”

Dari Aisyah r.a katanya:”Ketika hari raya, orang-orang Habsyi datang ke masjid mempertunjukkan permainan pencak silat. Lalu Rasulullah s.a.w memanggilku dan kuletakkan kepalaku di bahunya. Aku ikut menonton pertunjukkan itu hingga aku puas melihatnya.” (Muslim)

Menghidupkan Malam Hari Raya 
Menghidupkan malam hari raya adalah dengan berzikir, solat sunat, membaca al-Quran, bertakbir, bertasbih, dan beristighfar pada sepertiga akhir dari malam itu, dan yang terbaik ialah menghidupkan seluruh malam itu dengan amalan tersebut. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesiapa yang menghidupkan malam Hari Raya Fitrah dan malam Hari Raya Korban, maka hatinya tidak mati pada suatu hari yang mana hati-hati orang lain mati.”

Daripada Abi Umamah r.a, daripada Nabi Muhammad SAW bersabda: “ Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) dengan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari qiamat) sebagaimana matinya hati (orang-orang yang kufur engkar) pada hari itu.” (Ibnu Majah)

Umat Islam digalakkan menyambut hari raya dengan Takbir dan Tahmid sebagai menandakan kesyukuran kepada Allah. Malah orang-orang yang beriman yang menghidupkan malam hari raya dengan beramal dan beribadat kerana Allah, hatinya akan hidup (bahagia dan gembira). Mereka akan mendapat balasan yang baik di sisi Allah S.W.T.

Sebaliknya orang-orang yang kufur engkar, hatinya mati (hampa dan kecewa) pada hari itu, kerana dimurkai Allah dan ditimpa dengan sebuiruk-buruk balasan.

Di haramkan Berpuasa Di Hari Raya.
Ini berdasarkan hadis Nabi saw dari Abu Hurairah r.a:
Maksudnya, ”Rasulullah s.a.w melarang puasa pada dua jenis hari. Iaitu pada hari raya Idul Adha (10 Zulhijjah) dan hari raya Idul Fitri (1 Syawal).” (Muslim)

Dari Umar bin Khathab ra., ia berkata bahwa dua hari ini hari yang dilarang Rasulullah saw. untuk berpuasa, iaitu hari raya Idul Fitri setelah kalian berpuasa (Ramadhan) dan hari raya makan (daging korban) setelah kalian menunaikan ibadah haji “ (Muslim)

Sembahyang Hari Raya
Daripada Abi Said al-Khudri, r.a. katanya: “Biasanya Nabi Muhammad SAW keluar ke tanah lapang pada hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha, maka perkara yang mula-mula dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan sembahyang (sembahyang hari raya) kemudian (setelah selesai sembahyang), Baginda bangun mengadap orang ramai (untuk berkhutbah) sedang mereka (jamaah) tetap duduk dalam saf masing-masing, lalu Baginda menasihati mereka dan berwasiat (supaya mereka sentiasa bertaqwa) serta menyuruh mereka (tetap taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya).” (al-Bukhari)

Sembahyang hari raya Aidil Fitri (dan juga Aidil Adha) sunat dilakukan secara berjamaah sama ada di tanah lapang, di dalam masjid dan sebagainya. Khutbah hari raya Aidil Fitri hendaklah dilakukan sesudah mengerjakan sembahyang, di mana para jamaah hendaklah tetap duduk dalam saf masing-masing dan mendengar pengajaran khutbah yang disampaikan oleh khatib.


Membayar Zakat Fitrah
Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: “ Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedakah biasa seperti sedekah sunat yang lain.”  (Abu Daud)

Zakat fitrah adalah diwajibkan kepada semua orang-orang Islam. Zakat fitrah ialah zakat badan yang dikeluarkan untuk diberi kepada fakir miskin bagi membersihkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia sepanjang bulan Ramadhan.

Zakat yang diwajibkan ialah berupa makanan utama di sesebuah negeri seperti beras, gandum dan sebagainya atau di Malaysia, kadar bayarannya bersamaan dengan tiga cupak sukatan beras atau tiga kati dua belas tahil (dua Kilo 250 gram).

Pembayaran fitrah dengan menggunakan wang ringgit pula hendaklah dilafazkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan bagi (orang-orang) tanggunganku pada tahun ini, kerana Allah.” (mengikut kadar nilai yang ditetapkan oleh pihak pemerintah).

Zakat fitrah boleh dibayar dari awal Ramadhan sehingga akhirnya iaitu sebelum sembahyang hari raya. Maka bagi sesiapa yang membayarnya selepas sembahyang hari raya, baginya menjadi sedekah biasa sahaja.

2 comments:

anon said...

mohon share..

Shaiful Zaidi said...

Salam Aidilfitri. Mohon share jugak..